Thursday, April 23, 2009

Pewarisan Terhadap Bayi / Janin

1.0 PENDAHULUAN


Islam adalah satu agama yang mengandungi seluruh panduan cara hidup manusia untuk dijadikan metod semasa menjalani kehidupan di dunia dengan cara yang diredhai oleh Allah s.w.t agar selamat di dunia dan akhirat. Islam bererti menyerah diri kepada Allah s.w.t, dengan demikian orang beragama Islam adalah orang sentiasa menyerah diri kepada Allah. Orang Islam sentiasa mentaati perintah dan peraturan Allah.


Undang-undang pusaka Islam (Faraid) adalah satu sistem yang unik kerana ia bersumberkan kepada Allah s.w.t ianya sesuai dengan naluri dan fitrah kejadian manusia. Islam amat mengambil berat tentang pembahagian harta pusaka si mati dengan menentukan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Semua perkara tersebut amat penting untuk diketahui oleh umat Islam agar mereka tidak bertelingkah antara satu sama lain kerana perebutan harta pusaka. Islam juga amat mengambil berat perihal ummatnya sehinggakan telah menyediakan satu sistem yang cukup lengkap untuk panduan manusia dan menjaga kemaslahatan seseorang yang kemungkinan kehilangan sumber tempat pergantungan, juga untuk mengelakkan ahli waris daripada diperlakukan secara tidak adil sesama merek. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa seorang waris berhak memperolehi warisan, apabila secara meyakinkan masih dalam keadaan hidup pada waktu pewarisnya meninggal dunia.


2.0 TAKRIF AL-HAMLU


Al-Hamlu dari segi bahasa diambil dari lafaz hamalat-tahmilu-hamlan. Seorang perempuan dikatakan hamil apabila sudah mengandung. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :


”Ibunya telah mengandungnya dengan bersusah payah, dan melahirkannya dengan susah payah pula. Jangka waktu sejak mengandung sampai menguruskannya selama tiga puluh bulan” (Q.S. 46 Al-Ahqaf : 15 )


Menurut istilah, Hamil ialah adanya anak didalam perut seseorang ibu. Baik anak tersebut lelaki atau perempuan. Janin yang masih didalam kandungan ibunya mempunyai beberapa hukum ( perwarisan ). Didalam syarat perwarisan telah diterangkan bahawa ahli waris disyaratkan harus jelas hidupnya sewaktu pewarisnya meninggal dunia. Terdapat beberapa khilaf didalam menentukan pewarisan bagi janin ini, hal ini kerana sifat janin yang masih didalam kandungan ibunya bersifat masih kabur kerana adakah janin yang akan dilahirkan dalam keadaan hidup atau mati, adakah lelaki atau perempuan dan adakah dia kembar atau seorang diri.dan kita tidak dapat memutuskan sesuatu kecuali ia telah dilahirkan. Jika janin tersebut dilahirkan alam keadaan hidup maka ia dianggap hidup sejak meninggal pewarisnya, dan apabila ia dilahirkan dalam keadaan mati, maka ia dianggap tidak hidup sejak pewarisnya meninggal dunia.


Didalam masalah ini, terdapat beberapa tahap penyelesaian dalam membahagi harta pusaka tersebut iaitu : sebelum bayi dilahirkan diadakan pembahagian sementara dan pemabahagian yang sebenarnya ditangguhkan sehinggalah bayi tersebut selamat dilahirkan. ( hukum kewarisan islam, ms 51 )


3.0 TEMPOH HAMIL


Dalam perbincangan mengenai hak janin keatas harta pusaka maka perlu juga dilihat kepada tempoh hamil. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa tempoh hamil yang paling minimum ialah enam bulan. Ini berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud :


” Sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susuannya ialah dalam masa tiga puluh bulan ” (al-Quran, al-Ahqaaf 46:15).

Firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud :


” Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun ” (al-Quran, Luqman 31:14).

Dalam ayat pertama menyatakan bahawa tempoh hamil dan menyusu adalah 30 bulan. Manakala dalam ayat kedua pula menyatakan bahawa yempoh menyusu adalah dua tahun (24 bulan). Oleh itu, dapat disimpulkan daripada kedua-dua ayat di atas bahawa tempoh hamil yang paling minimum ialah enam bulan.


Walau bagaimanapun, ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan tempoh hamil yang paling maksimum ( paling panjang ). Mazhab Hanafi dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad mengatakan tempoh hamil paling maksimum ialah dua tahun, al-Layth bin Sa’ad mengatakan tiga tahun, mazhab Shafi’i dan salah satu pendapat daripada Imam Ahmad mengatakan empat tahun, mazhab Maliki mengatakan lima tahun, mazhab Zahiri mengatakan sembilan bulan tanpa dinyatakan tempoh minimum atau maksimum dan Muhammad bin ’Abd al-Hakam daripada mazhab Maliki mengatakan satu tahun qamariyyah.


Muncul perbezaan pendapat ini kerana menjaga kemungkinan berlaku kelahiran dalam tempoh tersebut dan mereka juga berpandukan kepada pengalaman dan perkhabaran yan g diterima daripada perempuan-perempuan yang mengetahui mengenainya. Sumber dari pakar perubatan pula mengatakan bahawa, pada kebiasaannya tempoh hamil yang paling maksimum ialah satu tahun ( 365 hari ) sahaja dan pandangan ini hampir dengan pandangan Muhammad bin ’Abd al-Hakam dan ia diikuti oleh kebanyakan Undang-undang Keluarga Islam.


Tempoh hamil yang minimum dan maksimum di atas ialah bagi perempuan yang ber’iddah sama ada disebabkan penceraian atau kematian. Oleh itu, janin yang lahir dalam tempoh tersebut berhak mewarisi. Manakala bagi perempuan yang hamil tapi masih lagi bersuami ( masih lagi dalam ikatan perkahwinan ) maka janin yang dilahirkan itu berhak mendapat harta pusaka jika dia dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau kurang daripada itu bermua dari tarikh kematian pewaris. Jika dia lahir selepas enam bulan daripada tarikh kematian pewaris, maka dia tidak boleh mewarisi kecuali diakui oleh pewaris-pewaris lain bahawa dia wujud dalam kandungan ibunya semasa kematian pewaris. Ini kerana kewujuannya dalam kandungan ibunya diragui sama ada dia wujud semasa kematian pewaris atau selepas kematiannya.


4.0 PEWARISAN JANIN


Ijmak ulama’ mengatakan bahawa janin (anak dalam kandungan) termasuk dalam waris yang berhak mendapat harta pusaka pewarisnya yang meninggal dunia sebagaimana waris-waris lain. Walau bagaimanapun, pewarisan janin bergantung kepada dua syarat iaitu :


i. Janin itu sudah wujud dalam kandungan ibunya semasa kematian pewaris.

ii. Janin lahir dalam keadaan hidup walaupun hanya beberapa saat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

” Apabila anak yang dilahirkan itu menangis, maka dia akan mewarisi”

( Hadith riwayat Abu Daud ).

Selain daripada menangis, terdapat beberapa lagi tanda yang menunjukkan bahawa janin yang dilahirkan itu hidup seperti berteriak, menyusu, bernafas, bergerak anggota badannya dan lain-lain. Begitupun, ulama’ berselisih pendapat sama ada perlu janin itu dilahirkan dengan seluruh badannya dalam keadaan hidup atau sebahagian besarnya sahaja. Pendapat Imam Shafi’i, Maliki dan Hanbali mensyaratkan bahawa janin itu dilahirkan seluruh badannya dalam keadaan hidup. Oleh itu, jika sebahagian sahaja dilahirkan hidup kemudian meninggal dunia maka dia tidak berhak mewarisi walaupun kelahiran itu diikuti dengan tangisan. Manakala mengikut pendapat Mazhab Hanafi memadai janin itu lahir dengan sebahagian besar badannya hidup walaupun kemudiannya dia meninggal dunia atau asal bergerak sahaja sudah cukup dikatakan hidup. (Hukum Warisan Dalam Syariat Islam ms, 227 ). Dengan ini dia berhak mewarisi kerana mengikut kaedah ” Hukum yang berlaku pada sebahagian besar akan berlaku kepada semuanya.


Harus diyakini hidupnya janin dalam perut ibunya, dan keluarnya ( lahirnya ) bayi dalam perut ibunya harus kurang dari dua tahun dari kematian pewarisnya, apabila ia merupakan benih dari pewaris yang meninggal dunia itu. Sebagaimana yang diucapkan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud :


” Bayi yang tinggal dalam perut ibunya, tiak akan tinggal lebih lama daripada dua tahun, walaupun sepergeseran waktu ”.


Pernyataan Siti Aisyah R.A tersebut tidak lain hanya hasil perdengarannya daripada Rasulullah saw. Pendapat demikian merupakan mazhab Hanafi dan salah satu pendapat dari mazhab Imam Ahmad. Menurut ulama’ Shafi’iyyah, lamanya masa kandungan itu empat tahun, pendapat ini sama dengan salah satu pendapat ulama Malikiyyah, dan merupakan pendapat sebahagian besar mazhab Imam Ahmad yang paling sahih. ( Hukum Waris Dalam Syari’at Islam ms, 226 )


Oleh itu, jika janin yang dilahirkan itu mati bukan kerana perbuatan jenayah terhadap ibunya, maka sepakat ulama’ mengatakan bahawa dia tidak boleh mewarisi harta pusaka. Sekiranya kelahiran janin itu mati akibat perbuatan jenayah terhadap ibunya maka berlaku perselisihan ulama’. Ulama’ dari pendapat Mazhab Hanafi berpendapat bahawa dia boleh mewarisi, manakala pendapat jumhur ulama’ ( termasuk mazhab Shafi’i, Maliki dan Hanabilah ), dia tidak boleh mewarisi tetapi dia berhak mendapat gantirugi yang akan diwarisi oleh waris-warisnya. Walau bagaimanapun, menurut pendapat al-Layth bin Sa’ad dan Rabi’ah bin ’Abd al-Rahman dia tidak boleh mewarisi dan gantirugi itu diberikan kepada ibunya kerana perbuatan jenayah itu menimpa dirinya ( ibu ).


5.0 KADAR BAHAGIAN YANG PERLU DISIMPAN UNTUK JANIN


Setelah syarat-syarat seperti di atas telah dipenuhi, maka janin berhak mewarisi harta pusaka, walau bagaimanapun ulama’ berselisih pendapat tentang bahagian harta yang sepatutnya disimpan untuk janin tersebut. Perselisihan tersebut adalah seperti berikut :


i. Pendapat mazhab Shafi’i adalah bahawa tidak dapat dipastikan bilangan janin yang akan lahir dari satu kandungan ibu, hal ini memaksa mereka melihat kepada keadaan waris-waris yang akan mewarisi bersama-sama dengannya. Jika ia mempengaruhi bahagian janin tersebut maka pembahagian tidak dapat dilakukan sehinggalah jelas kedudukan waris-waris atau janin yang akan lahir itu.

ii. Mazhab Hanbali berpendapat bahawa bahagian yang perlu disimpan daripada harta pusaka ialah untuk dua orang janin (lelaki atau perempuan).

iii. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa bahagian yang perlu disimpan untuk janin ialah empat orang.

iv. Abu Yusuf mengatakan seorang sahaja ( lelaki atau perempuan ) kerana pada kebiasaannya hanya seorang anak sahaja yang akan lahir dari kandungan ibu, tetapi hendaklah diambil jaminan daripada waris-waris lain yang mungkin terjejas bahagian mereka dengan kelahiran janin kembar supaya dikembalikan bahagian harta yang telah diambil jika ternyata kemudiannya lebih dari seorang janin dilahirkan. Pendapat Abu Yusuf ini diterima pakai dalam kebanyakan undang-undang pusaka seperti Undang-undang Pusaka Mesir 1943.


Ulama’ juga berselisih pendapat sama ada harta pusaka ini perlu dibahagikan sebelum atau selepas kelahiran janin. Mazhab Maliki berpendapat bahawa harta tersebut tidak boleh dibahagikan sehinggalah janin itu dilahirkan. Manakala menurut jumhur ulama’ bahawa harta itu boleh dibahagikan sebelum kelahiran janin. Pendapat jumhur ini diterima pakai kerana menjaga kepentingan waris-waris lain dan bahagian yang disimpan untuk janin ialah bahagian yang paling maksimum sama ada lelaki atau perempuan. Sementara itu, waris-waris lain akan mengambil bahagian mereka yang paling minimum. Tetapi sekiranya semua waris bersetuju menangguhkan pembahagian tersebut sehingga janin dilahirkan maka ini adalah sebaik-baiknya. ( Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia 141 - 142 )


6.0 KEDUDUKAN JANIN DALAM PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA


Kedudukan janin dalam pembahagian harta pusaka bersama-sama dengan waris-waris lain mempunyai beberapa keadaan seperti berikut :


1) Janin tidak boleh mewarisi harta pusaka dalam semua keadaan sama ada lelaki atau perempuan. Oleh itu, harta pusaka hendaklah dibahagikan kepada waris-waris lain yang berhak tanpa menunggu kelahirannya. Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri, bapa dan ibu yang hamil dari lelaki lain yang bukan bapa dari si mati. Sekiranya janin itu lahir maka dia menjadi saudara (lelaki atau perempuan ) seibu dan dia didinding oleh bapa. Oleh itu, harta pusaka dibahagi kepada seorang isteri mendapat 1/4, bapa mendapat asabah dan ibu mendapat 1/3 baki.

2) Janin boleh mewarisi harta pusaka dengan salah satu dari dua keadaan sama ada lelaki atau perempuan. Dalam keadaan ini, harta dibahagikan kepada waris-waris lain yang berhak dan bahagian janin disimpan sehingga dia dilahirkan. Jika jelas bahawa dia merupakan waris yang berhak maka dia akan mengambil harta yang disimpan untuknya, tetapi jika sebaliknya ( bukan waris ) maka bahagian harta yang disimpan itu dikembalikan kepada waris lain yang berhak.

Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri, bapa saudara ( sebelah bapa ) sewibu sebapa dan seorang isteri kepada saudara lelaki seibu sebapa yang hamil, maka seorang isteri mendapat 1/4 dan bakinya disimpan sehingga janin itu lahir. Apabila ternyata janin yang dilahirkan itu lelaki maka dia akan mengambil baki harta yang disimpan itu kerana dia menjadi anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa dan dia boleh mendinding bapa saudara ( sebelah bapa ) seibu sebapa. Tetapi jika ternyata janin yang dilahirkan itu perempuan maka bapa saudara ( sebelah bapa ) seibu sebapa akan mengambil baki harta yang disimpan itu kerana janin perempuan tersebut bukan waris yang berhak mendapat harta pusaka bahkan dia merupakan waris dhawi al-arham ( anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa ).


3) Janin boleh mewarisi harta pusaka dalam semua keadaan sama ada lelaki atau perempuan. Dalam keadaan ini, janin tersebut dianggap mempunyai dua kemungkinan iaitu lelaki atau perempuan. Kemungkinan bahagian yang lebih menguntungkan atau maksimum bagi janin yang perlu disimpan. Kadangkala anak lelaki lebih banyak bahagian atau kadangkala anak perempuan mendapat lebih. Oleh itu, bahagian yang menguntungkan janin diberikan kepadanya.

Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri yang hamil, bapa dan ibu. Dalam masalah ini dibuat dua andaian iaitu sama ada janin itu lelaki atau perempuan. Jika janin itu lelaki, maka isteri mendapat 1/8 (3/24), bapa mendapat 1/6 (4/24), ibu mendapat 1/6 (4/24), dan janin ( anak lelaki ) mendapat bakinya iaitu 13/24. Tetapi jika janin itu perempuan maka isteri mendapat 1/8 (3/24), bapa mendapat 1/6 (4/24), dan baki 1/24, ibu mendapat 1/6 (4/24) dan janin ( anak perempuan ) mendapat 1/2 (iaitu 12/24). Oleh itu, jika dilihat dalam masalah ini andaian bahawa janin itu lelaki adalah lebih menguntungkan, maka hendaklah disimpan atau ditangguhkan bahagian pusaka dengan andaian janin itu lelaki. Tetapi jika ternyata kemudian janin itu perempuan maka bapa akan mendapat bakinya 1/24.


4) Bahagian janin tidak berbeza sama ada leklaki atau perempuan. Dalam masalah ini, disimpan atau ditangguhkan bahagian janin itu tanpa mengira sama ada ianya lelaki atau perempuan dan waris lain akan mengambil bahagian masing-masing sepenuhnya.


Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang saudara perempuan seibu sebapa, seorang saudara perempuan sebapa dan ibu yang lahir dari lelaki lain ( bukan bapa kepada si mati ), maka janin tersebut sama ada lelaki atau perempuan tetap akan mendapat 1/6 sebagai seorang saudara ( lelaki atau perempuan ) seibu. Oleh itu, seorang saudara perempuan seibu sebapa mendapat ½, seorang saudara perempuan sebapa mendapat 1/6 dan ibu mendapat 1/6.


5) Janin mewarisi harta pusaka secara bersendirian tanpa waris-waris lain atau ada waris tetapi didinding olehnya. Dalam keadaan ini, semua harta pusaka disimpan atau ditangguh pembahagiannya sehingga janin itu lahir. Contohnya, seorang mati meninggalkan seorang isteri kepada anaknya ( menantu ) yang hamil dan seorang saudara lelaki seibu, maka semua harta pusaka tersebut disimpan kepada janin. Ini kerana sekiranya janin itu lelaki atau perempuan maka dia mendinding saudara lelaki seibu. ( Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia ms 143 - 145 )


7.0 PUSAKA KEPADA ANAK ZINA


Apabila seseorang telah terang tentang hubungan darah dengan ibu bapanya, maka dia akan mewarisi harta pusaka dari keduanya dan begitu juga sebaliknya selama mana tiada sesuatu faktor yang menghalang dari pewarisan harta pusaka dan selama mana syarat-syarat pusaka telah cukup sempurna. Tidak ada suatu hubungan darah seseorang itu jika dia hanya mempunyai hubungan dengan ayahnya sahaja tanpa ibunya. Yang ada hanya hubungan darah dengan ibunya tanpa ayahnya sahaja, seperti anak zina atau anak lian. Syarak’ telah menetapkan bahawa kedua-dua anak itu hanya mempunyai hubungan darah dengan ibunya sahaja dan tidak diakui atau sah taraf untuk dinasabkan kepada ayahnya kerana anak itu adalah hasil daripada persetubuhan haram atau luar nikah antara kedua-duanya.


Anak zina ialah anak yang dikandung oleh ibunya dari seprang lelaki yang menggaulinya tanpa nikah yang diperakui oleh syarak’. Anak zina sama ada lelaki atau perempuan tidak diiktiraf hubungan darahnya dengan ayahnya. Oleh itu dia tidak boleh mewarisi harta daripada lelaki yang menyetubuhi ibunya secara yang diharamkan oleh syarak’. Begitu juga dia tidak boleh mewarisi harta dari saudara ayah zinanya dan juga sebaliknya kerana tiada sebab pewarisan iaitu hubungan kerabat melalui perkahwinan yang sah antara lelaki itu dengan ibunya. Dalam keadaan lain pula anak zina diakui hubungan pewarisan dengan ibunya dan dia berhak untuk mewarisi pusaka ibunya begitu juga dengan saudara sebelah ibunya dan sebaliknya. Maka apabila meninggal anak yang diakui syarak dengan meninggalkan : ibunya dan ayahnya yang tidak sah taraf ( tidak diakui syarak’ ), maka semua harta pusaka untuk ibunya sahaja dengan jalan fardu dan radd.


Dan jika dia meninggal dan meninggalkan : seorang ibu, saudara lelaki seibu dan saudara lelaki dari ayahnya yang tidak sah taraf, maka semua harta pusaka akan diwarisi oleh ibunya dan saudara seibunya dengan jalan fardu dan radd. Apabila meninggal ibunya atau salah seorang dari saudara ibunya maka anak ghairu syarak’ itu menerima pusaka dari ibunya dan saudara-saudara ibunya. Dalam hal ini ulama’ berpegang dengan kaedah-kaedah umum bagi pusaka, dan apabila ayahnya yang tidak diakui oleh syarak’ meninggal, atau salah seorang dari saudaranya, maka anak ghairu syarak’ itu tidak dapat mewarisi harta pusaka daripadanya. ( Hukum Warisan Dalam Syariat Islam ms, 281 )


8.0 PUSAKA KEPADA ANAK LI’AN


Lian pada istilah fuqaha’ ialah, suatu nama bagi keadaan yang berlaku di antara suami dan isteri di muka pengadilan iaitu : pengucapan penyaksian dengan lafaz-lafaz yang khusus. Dinamakan penyaksian ini dengan li’an adalah kerana di dalamnya terdapat kalimah la’nat ( kutukan ) pada kali yang kelima.


Anak li’an ialah anak yang dilahirkan oleh seseorang isteri hasil daripada perkahwinan yang sah dan diakui syarak, tetapi si suami menafikan bahawa anak itu adalah dari keturunannya. Apabila suami menafikan hubungan darah dengan anak yang dilahirkan oleh isterinya ketika mana isterinya itu masih lagi dalam ikatan perkahwinan yang sah, sedangkan si suami tidak mempunyai bukti yang membenarkan tuduhannya itu. Oleh itu wajib ke atas suami dan isteri untuk berli’an di hadapan hakim untuk menghindari dari hukuman qazaf bagi suami dan hukuman zina bagi isteri. Apabila telah sempurna li’an antara kedua-duanya di mahkamah, maka hakim menetapkan bahawa mereka akan terpisah buat selama-lamanya sebagai suami isteri dan anak itu hanya mempunyai hubungan dengan ibunya sahaja, begitu pun hubungan anak itu dengan ayahnya terputus buat selama-lamanya. ( baca ayat 6,7,8, dan 9 dari surah al-Nur)


Hukum anak li’an dalamk pusaka sama hukumnya sebagaimana anak zina, kerana ia hanya menerima harta pusaka dari ibunya dan kerabat ibunya sahaja, begitu juga berlaku sebaliknya. Dihalang dari mempusakai harta pusaka antara anak li’an dan ayahnya yang meli’an ibunya dan dari kerabat ayahnya kerana telah ditetapkan oleh hakum bahawa tidak ada hubungan kekeluargaan antara keduanya buat selamanya. Disyaratkan untuk mewarisi harta pusaka anak li’an dan zina dar ibunya dan saudara ibunya ialah mereka dilahirkan dalam tempoh 9 bulan ( 270 hari ) paling lama dari tarikh kematian waris dari saudara sebelah ibunya supaya dapat dipastikan bahawa anak itu sudah ada pada waktu meninggalnya pewaris tersebut. Jika dia dilahirkan lewat 9 bulan selepas meninggal pewaris tersebut maka dia tidak boleh menerima harta pusaka itu. ( Fiqhul Mawaris Hukum-Hukum Warisan Dalan Syari’at Islam ms, 282 )


9.0 ISU PERKAHWINAN DI LUAR NEGARA YANG TIDAK DIDAFTARKAN


Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri bahawa semua perkahwinan sama ada yang dilakukan di dalam negara atau di luar negara hendaklah didaftarkan mengikut peraturan dan syarat-syarat tertentu. Sekiranya sesuatu perkahwinan itu tidak didaftarkan maka pihak-pihak dalam perkahwinan itu tidak mendapat hak perlindungan dan jaminan di bawah undang-undang keluarga slam negeri-negeri berkenaan.


Demikian juga dengan perkahwinan yang berlaku di luar negara ( kahwin lari ) yang tidak didaftarkan di bawah peruntukan undang-undang keluarga Islam negeri-negeri, maka pasangan suami isteri itu akan menghadapi pelbagai masalah antaranya masalah anak dan harta pusaka. Sekiranya salah seorang dari pasangan suami isteri itu meninggal sebelum perkahwinan di luar negara itu didaftarkan, maka pasangan yang hidup menghadapi masalah sama ada dia berhak atau tidak terhadap harta pusaka si mati sama ada suami atau isteri. Walau bagaimanapun, persoalan ini akan diputuskan oleh mahkamah sama ada pasangan yang hidup itu berhak atau sebaliknya terhadap harta si mati. (Undang-undang Pusaka Islam dan Perlaksanaan di Malaysia ms, 233 )


10.0 ISU ANAK YANG TIDAK SAH TARAF


Di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri terdapat peruntukan khusus bagi menentukan seseorang anak itu sama ada sah taraf ( nasab ) atau tidak. Bagi menentukan kesahtarafan seseorang anak, maka ia dilihat kepada tempoh minimum kelahiran anak itu selepas perkahwinan atau tempoh maksimum kelahiran seseorang anak itu selepas berlaku perceraian atau pembubaran perkahwinan itu.


Contohnya, dalam seksyen 111, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 2003 memperuntukan :

” Jika seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki, melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariyyah dari tarikh perkahwinan itu atau dalam masa empat tahun qamariyyah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab penceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah”


Seksyen 112, pula memperuntukkan :


” Jika anak itu dilahirkan lebih daripada empat tahun qamariyyah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab penceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu ”


Berdasarkan peruntukan di atas nyatalah bahawa seseorang anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariyyah dari tarikh perkahwinan seseorang lelaki dan perempuan, atau dilahirkan selepas empat tahun qamaruyyah selepas perkahwinan itu dibubarkan, maka anak itu bukan anak yang sah taraf kepada kedua-dua pasangan suami isteri itu. Dari segi hukum syarak’, seseorang anak yang tidak sah taraf ( tidak sah nasab ) tidak berhak menerima harta pusaka di sebelah bapanya, malah dia berhak di sebelah ibunya sahaja. ( Undang-undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia ms, 234 )

No comments:

Post a Comment