Thursday, March 19, 2009

Sejarah Negeri Kelantan

Kelantan Darulnaim (Jawi: كلنتن دار النعيم) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 14 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Thailand (lihat peta). Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Kelantan)

Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada maharaja China itu.

Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Negeri Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginga Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Negeri Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Raja Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Negeri Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).

Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).

Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahndanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.

Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Getting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.

Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletuskan peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan Negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Terdapat pihak yang mengatakan terdapat penyelewengan yang berkaitan dengan fakta sejarah negeri ini. Pendedahan yang telah dibuat menyebabkan ada pihak yang terasa. Penyelewengan itu dikatakan bermula dengan terbitnya buku "Ringkasan Cetera Kelantan" oleh Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail sebelum tahun 1950-an. Penyelewengan fakta ini dipercayai dilakukan secara terancang dan berterusan ini terbukti dengan terbitnya buku terbaru sejarah Kelantan iaitu "Iktisar Sejarah Kelantan" yang kemudiannya diiklankan di dalam majalah "Pengasuh" keluaran MAIK.

Dikatakan, ramai yang tidak menyedari bahawa selepas kejatuhan "Kota Lubang Kubu" akibat Perang Kota Lubang Labu II pada tahun 1762 di antara Long Mohamad yang memerintah Kota Lubang Labu dengan Long Gaffar (Long Gaffar merupakan Raja Muda Negeri Reman dan bukannya anak pembesar Reman seperti yang didakwa di dalam buku di atas), negeri ini kemudiannya telah diperintah oleh Long Gaffar dan keturunannya.

Pusat pemerintahan utama semasa pemerintahan Long Gaffar di Negeri ini ialah di Kota Limbat, Peringat dan pada masa yang sama seorang tokoh iaitu Long Yunus (anak Long Sulaiman) yang merupakan sahabat baik Long Gaffar yang dianggap sebagai adik oleh baginda Long Gaffar. Lalu Long Yunus telah diberikan kuasa memerintah oleh Long Gaffar dari kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan Di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat. Peristiwa ini yang menyebabkan munculnya nama "Kelantan", yang dikatakan berasal dari perkataan "Negeri yang Dikerat Lintang" antara Raja yang memerintah iaitu baginda Long Gaffar yang berpusat di Kota Limbat dengan Long Yunus dan sempadannya ialah Pasir Tumbuh.

Fakta tersebut dikatakan cuba diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan dengan memutarbelitkan peristiwa (menyatakan Long Yunus yang beri kuasa kepada Long Gaffar) bertujuan bagi memperkecilkan dan seterusnya menghapuskan peranan Long Gaffar dalam lipatan sejarah Kelantan sedangkan dalam perang tersebut, dipercayai Long Gaffar berjaya berperang dan mengalahkan Long Mohamad yang dibantu oleh Long Deraman.

Semasa pemerintahan baginda Long Gaffar dan keturunannyalah, telah terlaksana Hukum Hudud di Kelantan. Di antara tokoh yang terlibat dan menjadi tempat rujukan dan nasihat bagi perlaksanaan hukuman ini ialah Haji Nik Ismail Limbat (Tok Baruh) yang merupakan keturunanan Raja Jambu Patani yang asal. Keturunannya kemudian mengasaskan pondok Bukit Abal dan salah seorang dari keturunannya muncul sebagai tokoh agama yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.

Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.

No comments:

Post a Comment